Biografi
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Temerloh, Pahang Darul Makmur. Beliau mendirikan rumah tangga pada tahun 1986 dengan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini Zainal Abidin dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan pada 7 Julai 2021. Bagaimanapun pada 21 Ogos 2021, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera sebelum ini pernah menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sejak 7 Mac 2019 sehingga 29 Februari 2020.
Ismail Sabri pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2004 ketika berusia 44 tahun, selepas memenangi kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-11 atas tiket Barisan Nasional.
Pada tahun 2008, beliau dilantik menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan. Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ismail Sabri memulakan karier politiknya sebagai ahli UMNO pada tahun 1987, sebelum dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Temerloh pada tahun 1993. Pada tahun 1995, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik.
Dunia politik beliau semakin cerah apabila dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 2001 dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 2004.
Di peringkat kebangsaan, beliau merupakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 2000 dan berjaya memenangi kerusi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2008. Pada tahun 2018, beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO.
Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Astronautic Technologies Sdn Bhd sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Pada masa yang sama, beliau merupakan bekas Timbalan Pengerusi Lembaga Pelancongan Malaysia.
Sebagai menghargai jasa beliau di peringkat negeri dan kebangsaan, YAB Dato’ Sri Ismail telah dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) dan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM). Beliau juga telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) dan Ahli Darjah Kinabalu (ADK).

PENDIDIKAN
1985
Diterima Sebagai Peguam
1980 – 1984
Sarjana Muda
Undang-Undang LLB (Hons), Universiti Malaya
1978 – 1979
Jaya Akademik, Kuala Lumpur
1976 – 1977
Sek. Men. Teknik, Kuantan, Pahang
1973 – 1975
Sek. Men. Air Putih, Kuantan, Pahang
1967 – 1972
Sek. Keb. Bangau, Temerloh, Pahang
JAWATAN DALAM BADAN KERAJAAN
Ogos 2021
– Sekarang
Perdana Menteri Malaysia
Jul 2021
– Ogos 2021
Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pertahanan
Mac 2020
– Ogos 2021
Menteri Kanan Pertahanan Malaysia
Mac 2019
– Febuari 2021
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Julai 2015
– April 2018
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Mei 2013
– Julai 2015
Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani
April 2009
– April 2013
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan
Mac 2008
– April 2009
Menteri Belia Dan Sukan
Jan 2008
– Mac 2008
Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNS)
April 2007
– Mac 2008
Pengerusi Astronautic
Technology(M) Sdn. Bhd
April 2003
– April 2006
Pengerusi Kompleks Sukan Negara (KSN) Bukit Jalil
1995
– 1999
Setiausaha Politik Kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia
1987
– 1995
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah (Pengarah Pengalakan Pelancongan Malaysia)
1987
– 1996
Ahli Majlis Daerah Temerloh, Pahang
