Bera di
Hatiku
Bera di Hatiku
Daerah Bera terletak kira-kira 38 kilometer di hilir Temerloh. Ia merupakan daerah kesebelas di negeri Pahang Darul Makmur, diisytiharkan pada 1 Februari 1992 dengan keluasan 2,214 kilometer persegi. Daerah ini terdiri daripada dua mukim iaitu Mukim Triang dan Mukim Bera. Ia telah diwartakan pada 1 November 1991. Secara amnya, Daerah Bera meliputi lima buah penempatan – Kampung Tradisional, Kampung Baru, Felda, Penempatan Orang Asli dan Penempatan Ladang Persendirian.
Pentadbiran Tanah dan Daerah Bera telah beroperasi sepenuhnya sejak 1993 untuk membangunkan Daerah Bera dengan bantuan agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan IADP Pahang Barat. Selain itu, terdapat lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menjalankan aktiviti mengikut Akta Kerajaan Tempatan. Mereka ialah Pusat Pertumbuhan dan Penempatan Daerah Bera yang terdiri daripada Majlis Tempatan Triang, Majlis Tempatan Mengkuang, Majlis Tempatan Kemayan, Majlis Tempatan Kerayong dan Majlis Tempatan Mengkarak.